Aug 6, 2011

~Ramadhan....


Ramadhan,
Jika dulu aku sia-siakan kedatanganmu,
Kini aku menghargai kedatanganmu,
Setiap harimu, tak ku biarkan ia berlalu begitu sahaja,
Biarpun walau sedetik,
Ku alunkan irama merdu kitab Kalamullah,
Bait-bait indah ku hayati satu persatu,
Helaian demi helaian,
Terasa damainya hati,
Tatkala irama merdu itu berkumandang.
Ramadhan,
Jika dulu aku sia-siakan pemergianmu,
Kini pemergianmu ku tangisi,
Aku rindukan saat-saat indah bersamamu ya Ramadhan,
Aku rindukan solat sunat Terawih,
Aku rindukan taddarus al-Quran,
Aku rindukan malam Lailatul Qadar
Aku rindukan siang dan malammu ya Ramadhan,
Rindu siangmu untuk berpuasa,
Rindu malammu untuk berterawih,
Rindu siang dan malammu untuk menggandakan pahala.
Ramadhan,
Andai aku diberi peluang,
Melayari hari-harimu yang mendatang,
Tidak akan aku persiakan,
Akan ku penuhi hari-harimu,
Dengan amalan yang berlipat kali ganda.
Insya-Allah.
"Puasa Itu Sebahagian Daripada Kesabaran."

Aug 4, 2011

~RENUNGAN RAMADHAN 4~

AsSaLamUaLaiKum...

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,hari ini kita sambung kepda Renungan Ramadhan yg ke-4...
Di antara perkara yang menjadi syi’ar dalam bulan Ramadhan ialah solat sunat tarawih
yang kita hadiri pada malam ini. Solat ini sangat besar pahalanya seperti hadis yang
diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Hurairah r.a. katanya:
“ Rasulullah (saw) menganjurkan untuk mengerjakan solat pada malam bulan Ramadhan,
tetapi tidak mewajibkannya. Beliau bersabda: “Barangsiapa yang bangun pada malam
bulan Ramadhan kerana iman dan mengharapkan keredhaan Allah, maka diampunilah
dosa-dosanya yang telah lalu.” “
Cukuplah bagi kita hadis Nabi (saw) ini untuk menjadi perangsang kepada kita untuk
solat tarawih. Baginda menganjurkannya sambil menjanjikan keampunan dari dosa-dosa
yang telah lalu.


Saudara-saudari yang budiman,
Kita semua orang yang berdosa.. maka marilah kita merebut peluang untuk mendapatkan
keampunan bagi dosa-dosa kita.
Satu perkara yang harus diperhatikan ialah syarat yang diletakkan oleh Nabi (saw) untuk
mendapat pengampunan dosa yang telah lalu ialah kita bangun bersolat dengan “imaanan
wah tisaaban” yang diterjemahkan sebagai kerana “ iman dan mengharapkan keredhaan
Allah”. Maknanya kita memastikan ketulusan iman, keikhlasan niat, penyerahan yang
redha kepada Allah. Ia bermakna kita perlu berusaha meningkatkan kualiti tarawih kita.
Satu perkara yang sering menjadi bahan polemik mengenai tarawih ialah bilangan
rakaatnya. Ada pula yang menimbulkan polemik lain; solat berseorangankah yang baik
atau berjamaah? Sikap terbaik dalam hal ini ialah kita berlapang dada dengan perbezaan
pendapat yang wujud ini tanpa memperkecilkan atau meremehkan salah satu pendapat
yang lain.
Yang penting, pilihlah satu pendapat yang kita yakin dengan hujjahnya dan berusahalah mencari
jalan bagi mendapatkan solat tarawih yang paling berkualiti. Ini mungkin bermakna kita
akan solat di surau berdekatan rumah kita atau kita terpaksa bersolat di masjid atau surau
yang jauh dari rumah kita. Atau mungkin ia bermakna kita akan solat sendirian atau
bersama keluarga di rumah.

Saudara-saudari yang budiman,
Apa yang perlu kita risaukan ialah bagaimana kualiti tarawih tersebut; tidak kira samada
ianya 20 atau 8 rakaat, di masjid jauh atau di surau dekat, kita kerjakan berseorangan
atau berjamaah.
Solat tarawih yang mempunyai kualiti “imaanan wah tisaaban” bukan dibuat
sekadar melepaskan batuk di tangga tetapi dengan perancangan yang sedar dan
pemilihan yang teliti. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita dan memasukkan
kita di kalangan orang yang diredhai-Nya.


*Renungan untuk diri sendiri dan kawan2 sekalian..

Aug 3, 2011

~RENUNGAN RAMADHAN 3~

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Di antara sunat puasa yang sering dipandang ringan oleh ramai umat Islam kini ialah
bersahur. Bersabda Nabi (saw):
“ Makan sahurlah, kerana makan sahur itu berkat.”
(hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


Dalam hadis lain, Nabi (saw) bersabda:
“ Bersahur itu berkat maka janganlah kamu tinggalkan, walau seorang di antaramu
hanya meneguk air. Kerana Allah dan para Malaikat-Nya akan mengucapkan selawat
kepada orang-orang yang bersahur”.
(hadis Riwayat Ahmad)


Dan adalah disunatkan kita melewatkan sahur tersebut, seperti dinyatakan oleh ‘Amar bin
Maimun mengenai para sahabat Nabi (saw):
“Para sahabat Nabi Muhammad (saw) itu adalah orang-orang yang paling bersegera
berbukanya dan paling lambat bersahurnya”
(Riwayat Baihaqi)
           Di sana terdapat hikmah dan berkat yang besar dari sahur dan melewatkannya. Pertama,
ia memberi kekuatan kepada yang berpuasa. Tetapi lebih besar ertinya pada kita ialah
sahur memberi peluang untuk mendapat ucapan selawat dari Allah dan para malaikat.
Bukan mudah untuk kita melayakkan diri menerima ucapan selawat daripada Pencipta
dan Penguasa Alam dan para malaikat-Nya. Ini merupakan satu anugerah yang perlu
direbut oleh setiap insan. Mengingatkan anugerah ini, pastinya tidak terlalu sukar untuk
kita bangun esok pagi untuk bersahur.
            Satu lagi hikmah yang besar dari sahur yang lewat ialah ia akan memastikan kita berjaga
di penghujung malam menjelang subuh; satu saat yang amat mustajab untuk berdo’a.
Ambillah peluang bangunnya kita di waktu sahur untuk menunaikan dua rakaat solat
tahajjud atau hajat dan berdo’alah kepada-Nya Yang Maha Mendengar.
Di samping itu, bangunnya kita untuk bersahur menjelang subuh akan memastikan agar
kita dapat solat subuh di awal waktunya; satu amalan yang amat disukai. Menurut
sebuah hadis dari Abu Mas’ud al-Ansari:
“ Bahwa Rasulullah (saw) melakukan solat subuh di saat kelam pada akhir malam (di
awal waktu subuh), kemudian pada kali lain dilakukannya ketika hari mulai terang.


Setelah itu solat tetap dilakukannya pada waktu gelap tersebut sehingga beliau wafat,
dan tidak pernah lagi di waktu hari telah mulai terang.”
(riwayat Abu Daud dan Baihaqi)
Di samping itu, berkesempatan pula kita bersolat sunat subuh yang disebutkan oleh 
Nabi (saw):
“Dua rakaat sunat subuh itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.”
(hadis Riwayat Ahmad, Muslim, Tirmidhi dan an-Nisa’i)
Oleh itu, kita tidak boleh memandang sahur hanya sekadar untuk makan menambah
tenaga bagi menguatkan badan; mungkin tidak diperlukan jika seseorang merasakan
dirinya telah kuat. Tetapi sahur adalah lebih dari itu; ia adalah satu sunnah Nabi,
melakukannya memberi kita peluang mendapat selawat dari Allah dan para malaikat,
peluang untuk berdo’a di saat yang mustajab, dapat solat subuh di awal waktu dan dapat
pula bersolat sunat yang begitu besar ganjarannya.


Semoga Allah mempermudahkan kita untuk istiqamah di atas sunnah Nabi-nya.



Aug 2, 2011

~RENUNGAN RAMADHAN 2~

Assalamualaikum...
Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Allah swt berfirman, maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kami berpuasa sebagaimana
diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa .
(Surah al-Baqarah: 183)


Ayat ini merupakan ayat yang menitahkan fardhu puasa pada tahun kedua hijrah. Di
samping menyatakan kewajipan puasa, ayat ini juga menyatakan tujuan dari ibadah
puasa kita “agar kamu bertaqwa”. Darjah taqwa ialah darjah tertinggi yang boleh
dicapai oleh seorang hamba. Orang yang bertaqwa dijanjikan surga oleh Allah:
“ Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan syurga-syurga yang
penuh kenikmatan di sisi Tuhannya”
(Surah al-Qalam:34)


“ Dan bersegeralah kepada keampunan dari Tuhan-mu dan syurga yang bidangnnya
seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.”
(Surah ali-Imran: 133)


Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Orang-orang yang bertaqwa akan memperolehi hidayah yang Allah turunkan di dalam al-
Quran:
“Alif, Lam, Mim. Kitab al-Quran ini tidak ada keraguan di dalamnya petunjuk bagi
orang-orang yang bertaqwa. “
(Surah al-Baqarah: 1-2)


Orang-orang yang bertaqwa bukan sahaja mendapat kejayaan di akhirat bahkan layak
mendapat bantuan Allah di dunia lagi. 
Firman Allah bermaksud:
“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan menjadikan baginya jalan
keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”
(Surah at-Talaq: 2-3)


Orang-orang bertaqwa merupakan orang yang paling mulia di sisi Allah:
“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang
bertaqwa dari kalangan kamu”
(Surah al-Hujurat: 13)


Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Oleh itu, taqwa adalah darjat yang begitu tinggi, yang melayakkan seseorang menjadi
orang paling mulia, dijanjikan syurga, diberikan hidayah dan keampunan serta diberikan
bantuan sejak di dunia lagi.Pasti untuk memperolehinya agak sukar.
Namun kini peluangnya terbuka luas dengan tawaran istimewa dari Allah SWT.
Janji Allah, jika kita berpuasa dengan sebenar puasa, pasti kita kan mencapai darjat
taqwa. Marilah sama-sama kita berdoa dan berusaha untuk memastikan agar puasa kita
Ramadhan ini mampu melonjakkan kita ke darjat taqwa. 
Amin...