May 28, 2013

Mengapa Mesti Bersangka Baik?


Tujuh sebab mengapa kita mesti bersangka baik;

Satu. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana mungkin kita mempunyai sijil-sijil kecemerlangan kokurikulum atau akademik, tetapi kita tidak memiliki 'sijil' yang mengatakan bahawa kita antara yang dijanjikan syurga seperti 10 sahabat Nabi.

Dua. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana manusia lain juga seperti kita yang mempunyai setiap detik peluang untuk berubah ke arah yang lebih baik. Mungkin semalam dia seorang yang kedekut tetapi tidak mustahil dalam sekelip mata, hari ini dia menjadi seorang yang pemurah dan mungkin tiada yang menyangka bahawa hari esok dialah yang paling ikhlas dalam memberi.

Tiga. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana semua kita adalah bersaudara. Andai hati sahaja mudah berprasangka, bagaimana mahu menebar bahagia?

Empat. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana percayalah setiap sesuatu yang berlaku pasti ada sebabnya. Usah mudah mengangkat jari telunjuk menghukum namun eratkan jemari membentuk persefahaman dan kesatuan hati.

Lima. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana diri sendiri bukan seorang yang maksum dan sepi daripada melakukan dosa. 

Enam. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana hanya Allah yang mengetahui segala isi hati orang lain. Adakah kita fikir kita seperti Tuhan yang boleh membaca isi hati orang lain? Na'uzubillah.

Tujuh. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana kita hanya seorang hamba yang mesti taat kepada Penciptanya. Husnuszonlah sentiasa selama masih bernyawa!

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain..."(Surah al-Hujurat, ayat 12)


Nota Kaki :Andai mulut tidak bisa berhenti daripada mengatakan sesuatu yang tidak berfaedah dan yang mungkin mengundang dosa, maka diam itu lebih baik.

Copy Paste from http://www.iluvislam.com







No comments:

Post a Comment